Archive Archive

Back

MAKLUMAT MENGENAI KEMUDAHAN MENGUNDI SECARA POS KEPADA PENGUNDI TIDAK HADIR (PTH) DAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG TINGGAL DI LUAR NEGARA

 

MAKLUMAT MENGENAI KEMUDAHAN MENGUNDI SECARA POS KEPADA PENGUNDI TIDAK HADIR (PTH) DAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG TINGGAL DI LUAR NEGARA
 
 

 

 

 

A.          CARA MEMOHON UNTUK MENGUNDI MELALUI POS BAGI  WARGANEGARA MALAYSIA YANG TINGGAL  DI LUAR NEGARA SEBAGAI PENGUNDI TIDAK HADIR (PTH)
 
1.           Semua warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara boleh memohon untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang sekiranya memenuhi semua syarat-syarat berikut:
 
1.1         Warganegara Malaysia;
 
1.2         Pemilih Berdaftar;
 
 
1.4         Menetap di luar negara kecuali di Singapura, wilayah Selatan Thailand (Pattani, Satun, Songkhla, Narathiwat dan Yala), Brunei, dan Wilayah Kalimantan Indonesia.
 
 
2.           Warganegara Malaysia yang memenuhi syarat-syarat di atas dan telah berdaftar sebagai pemilih selain dari Pengundi Tidak Hadir (PTH) boleh mengemukakan permohonan mereka untuk mengundi secara pos dengan melengkapkan Borang 1B bermula 21 Januari 2013 sehingga jam 12.00 tengah malam hari pembubaran Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuatkuasa.
 
3.           Borang 1 B boleh dimuat turun dari laman web SPR dan perlu dihantar ke Ibu Pejabat SPR, Putrajaya melalui salah satu  kaedah penghantaran seperti berikut:
 
3.1         Melalui e-mel kepada upup@spr.gov.my; atau
 
3.2         Melalui faks ke +603-8881 1201/ 1202/ 1187/ 1192; atau
 
3.3         Melalui pos ke alamat:
 
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Aras 4-5, Blok C7, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62690 PUTRAJAYA
MALAYSIA
(u.p.: Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara)
 
4.           Sila lihat contoh untuk mengisi Borang 1 B.
 
5.           Sila lihat panduan untuk mengisi Borang 1 B.
 
6.           Semua pemohon perlu menentukan Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara yang terdekat  dalam Borang 1B bagi tujuan penerimaan Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas-kertas undi pos.
 
7.           Warganegara Malaysia yang bermastautin di  Singapura, wilayah Selatan Thailand (Pattani, Satun, Songkhla,  Narathiwat dan Yala) Brunei, dan Wilayah Kalimantan Indonesia mesti pulang ke Malaysia bagi membolehkan mereka mengundi pada hari mengundi.
 
B.          TATACARA MENGUNDI MELALUI  POS DI PEJABAT-PEJABAT PERWAKILAN MALAYSIA DI LUAR NEGARA (UNTUK MAKLUMAN MALAWAKIL SAHAJA)
 
1.        Karung Khas SPR akan diedarkan kepada semua Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil) bagi menggantikan peti-peti undi pos yang sering digunakan semasa hari mengundi di Malaysia.
 
2.        Kertas-kertas undi bagi Parlimen dan Negeri akan dimasukkan ke dalam Sampul Keutamaan yang mengandungi nama, Nombor Kad Pengenalan rakyat Malaysia yang memohon untuk mengundi melalui pos serta alamat penuh Malawakil yang dipilih.
 
3.        Karung  Khas SPR dan Sampul Keutamaan yang mengandungi  Kertas Undi Pos dijangka tiba di semua Malawakil pada minggu pertama berkempen di Malaysia dan perlu sampai semula ke SPR di Putrajaya selewat-lewatnya  dua hari sebelum  hari mengundi  biasa di Malaysia.
 
4.        Wisma Putra dan SPR akan menentukan tarikh dan masa penyerahan Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos kepada pemohon di Malawakil dalam tempoh masa antara Hari Pembubaran Parlimen dengan Hari Penamaan Calon. Maklumat tersebut akan diemelkan kepada pemohon dan akan dipaparkan dalam laman web SPR.
 
 
5.        Bagi tujuan pengundian melalui pos di luar negara,  pemohon akan diberi kemudahan untuk menanda Kertas Undi di Pejabat Malawakil dan SPR akan membantu membawa pulang kertas-kertas undi mereka melalui Beg Diplomatik untuk dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan.
 
6.        Rakyat Malaysia yang telah memohon untuk mengundi melalui pos di luar negara  yang tidak berkesempatan untuk mengambil Sampul Keutamaan pada hari penyerahan yang ditetapkan di Malawakil boleh memilih untuk mengambil kertas undinya pada hari yang lain dan menghantarnya kepada SPR menggunakan kos sendiri.
 
7.        Karung Khas SPR yang mengandungi Sampul B yang mengandungi kertas-kertas undi yang telah ditanda  perlu dikunci dan disimpan di tempat yang selamat seperti di bilik kebal dan dihantar pulang  ke Malaysia dengan seberapa segera.
 
8.        Semua Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi yang tidak dituntut sehingga jam 5 petang hari pengundian biasa di Malaysia perlu dihantar semula ke Ibu Pejabat SPR untuk direkodkan.
 
9.        Kelayakan pemohon berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa akan disahkan oleh SPR dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.
 
10.     Penggunaan pen adalah terpakai semasa pengundian pos dan setiap kertas undi perlu ditanda menggunakan pen (tidak ditentukan warna pen).
 
11.     Tatacara pengurusan undi pos yang lengkap dan filem latihan yang disediakan oleh SPR akan dipanjangkan kepada semua Malawakil dalam waktu terdekat.
 
12.     Senarai Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di Luar Negara yang akan menjadi lokasi penyerahan Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos  boleh disemak di laman web SPR.
 
 
Kementerian Luar Negeri
7 Februari 2013