News From Mission News From Mission

Back

PROGRAM MEMPROMOSIKAN MALAYSIA BERSAMA PELAJAR BARU FAKULTI ORIENTAL STUDIES UNIVERSITI WARSAW

 

Malawakil Warsaw sekali lagi  pada tahun ini menyertai program di atas yang diadakan pada 14 Januari 2014.  Program ini  bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar baru Fakulti Oriental Studies mengenai budaya dan tradisi khususnya negara-negara Asia dan Timur Tengah. Semua Kedutaan Besar Negara Anggota ASEAN di Poland iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam mengambil bahagian dan penyertaan pada tahun ini adalah merupakan salah satu aktiviti di bawah naungan ASEAN Committee in Warsaw (ACW).

 

 

 

Acara terbahagi kepada dua bahagian dimana bahagian pertama merupakan taklimat dari Ketua-Ketua Perwakilan/Wakil berkenaan negara masing-masing yang merangkumi budaya, tradisi, makanan, agama, tempat-tempat menarik, pendidikan, dan sebagainya.  Sementara bahagian kedua pula Kedutaan-Kedutaan Besar menghidangkan  makanan tradisional negara masing-masing. Juadah yang disediakan oleh Malawakil Warsaw adalah seperti cucur ikan bilis, bingka pandan, kuih cara manis, kek pisang dan juga teh tarik.

Penyertaan Malawakil dalam program ini pada setiap tahun memberi kepada para pelajar, khususnya para pelajar baru dan staff di Universiti Warsaw untuk mengenali Malaysia dengan lebih mendalam. Kebanyakan daripada mereka yang hadir amat tertarik untuk mencuba makanan Malaysia terutama cucur bilis dan kuih cara manis. Selain daripada itu, mereka juga melahirkan rasa minat untuk berkunjung ke Malaysia setelah melihat sendiri keindahan dan keunikan Malaysia melalui bahan-bahan promosi pelancongan yang diedarkan.

Secara keseluruhan, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja dari para pelajar baru malahan dari tetamu yang hadir termasuk juga staf dari Universiti Warsaw sendiri.  

Selain dari Keduataan Besar Negara Anggota ASEAN, program ini juga turut disertai oleh Kedutaan Besar negara lain seperti Afrika Selatan, China, Korea Selatan, Mongolia, Algeria, Iran, Iraq, Saudi Arabia, Syria, Palestin, Turki dan Morocco.