Archive Archive

Back

Bazaar Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah Pembuka Tahun Baru

 Jeddah, 24 Jan 2014 – Seperti tahun-tahun sebelumnya, Bazaar Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah pertama bagi tahun 2014 telah berjaya diadakan dalam suasana meriah dengan penuh semangat 1 Malaysia pada Jumaat 24 Januari 2014 di Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah. Bazaar Konsulat yang disertai lebih dari 18 gerai termasuk gerai Perwakilan Jeddah dibuka seawal 5 petang untuk menerima tetamu yang merupakan Warga Malaysia dan tetamu-tetamu jemputan. Konsul Jeneral Malaysia Jeddah, En. Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak dan isteri Puan Aniza Khalid telah menghoskan bazaar ini.

 

Perwakilan Jeddah telah bergabung tenaga menyediakan juadah enak seperti Nasi Tomato, Nasi Carrot, Nasi Ayam, Mee Hoon Goreng, Laksa Penang, kuih muih yang terdiri dari karipap, cream puff, burger Malaysia, biskut-biskut enak dan minuman panas dan sejuk. Tidak lupa juga nasi lemak Perwakilan Jeddah yang amat dikenali ramai dengan keenakkannya serta air teh tarik ‘kaw’.

 

Seramai lebih 1,000 rakyat Malaysia dan tetamu-tetamu dari negara lain telah menghadiri Bazaar Konsulat ini. Tetamu tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan makanan Malaysia yang dirindui seperti Sate, Laksa dari 2 negeri di Malaysia, Pulut Kuning, Jagung Bakar, Air Batu Campur dan bermacam-macam lagi juadah yang dijual oleh peniaga yang rata-ratanya rakyat Malaysia yang bermastautin di Jeddah dan Mekah.

 

Bazaar kali ini telah memperkenalkan sesuatu kelainan iaitu dengan adanya Cabutan Bertuah.  Sebanyak 10 hadiah menarik telah berjaya dimenangi pengunjung yang bertuah yang bukan sahaja kenyang di perut, tetapi pulang dengan alatan elektronik yang amat menarik.