Archives Archives

Back

News from Bernama: Malaysia, Sweden Akan Usahakan Pertunjukan Fesyen Islam

News from Bernama: Malaysia, Sweden Akan Usahakan Pertunjukan Fesyen Islam

Malaysia, Sweden Akan Usahakan Pertunjukan Fesyen Islam

 

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadap Raja dan Permaisuri Sweden untuk mendapatkan kerjasama keluarga diraja itu bagi mengadakan pertunjukan amal Busana Muslim di Monte Carlo Ogos tahun depan.

"Menerusi fesyen, kita ingin mereka yang belum memahami Islam akan mendapat gambaran bahawa Islam adalah agama yang sederhana lagi progresif. Kita akan perkenalkan konsep ini kepada dunia di samping dapat menunjukkan Islam bukan agama yang kolot, agresif apatah lagi ganas.

"Dengan menilai fesyen Islam, dunia akan tahu bahawa umat Islam juga mempunyai minda yang terbuka selagi tidak bercanggah dengan hukum," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pengakap Sedunia John Geoghegan di kediaman Perdana Menteri di sini Khamis.

Rosmah berkata semasa pertemuan dengan pasangan diraja Sweden tahun lepas, King Carl XVI Gustaf Folke dan Queen Silvia Renate Sommerlath mempunyai rakan-rakan yang suka menyumbang ke arah kerja kebajikan seperti ini.

"Kebetulan pula, Raja Sweden adalah penaung Yayasan Pengakap Sedunia manakala Permaisuri memang aktif dalam aktiviti kebajikan terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak dan wanita," kata Rosmah.

Dalam pertemuan hari ini, Geoghegan bersama penasihatnya Peter Michelson berbincang dengan Rosmah, yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, mengenai bagaimana kedua-dua persatuan itu boleh bekerjasama demi kepentingan rakyat dan dunia sejagat.

"Perkara-perkara yang telah dibincangkan hari ini, akan diperhalusi lagi. Kepada saya perkara sebegini amat baik untuk kita usahakan bersama kerana kita juga boleh meningkat dan mengharumkan nama negara di arena antarabangsa," jelas Rosmah.



-- BERNAMA