Archives Archives

Back

KUNJUNGAN BERSEJARAH YABHG. TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD KE KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, BANGKOK 20 NOVEMBER 2010

Kedutaan Besar Malaysia telah menerima kunjungan bersejarah daripada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, yang telah melakukan lawatan singkat ke Thailand pada 19 & 20 November 2010.  YABhg. Tun Dr. Mahathir telah ditemani oleh isteri tercinta, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

 

2.         Dalam meraikan kunjungan negarawan ulung tersebut, Kedutaan telah mengadakan sedikit jamuan ringkas bagi meraikan rombongan tersebut. Dalam kesempatan yang terluang, YABhg. Tun Dr. Mahathir juga berkesempatan berkongsi pandangan beliau dalam beberapa perkara yang menyentuh hal ehwal negara serta memberikan nasihat beliau kepada warga Kedutaan untuk terus berusaha gigih bagi memastikan Malaysia berjaya mengharungi arus global dengan  lebih berkesan. Kejayaan negara ketika ini, menurut belau, banyak bergantung kepada kekukuhan perpaduan yang terjalin. Justeru, sebarang anasir yang berpaksikan perkauman perlu ditolak. Beberapa soalan juga turut dilontarkan oleh hadirin kepada beliau sewaktu sesi soal jawab. Satu tayangan video khas yang memaparkan gambar-gambar sewaktu lawatan Tun di masa lampau turut disediakan sebagai sebahagian dari pengisian aturcara majlis.

 

3.         Sebelum bertolak meninggalkan Kedutaan, kakitangan Kedutaan telah berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk mengabadikan gambar kenangan dengan Tun berdua memandangkan kesempatan merupakan sesuatu yang jarang diperolehi. Suasana mesra serta riak ceria jelas terpancar di muka semua hadirin termasuk Tun berdua sendiri kerana kesempatan singkat tersebut jelas telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh kedua-dua belah pihak.

 

4.         Kunjungan Tun berdua ke Thailand sebenarnya atas jemputan Universiti Mahidol dan Kedutaan Poland yang telah menganjurkan secara bersama satu konsert filhamonik khas membabitkan seorang pemain piano cilik dari Malaysia bernama Tengku Ahmad Irfan yang baru berusia 12 tahun. Konsert tersebut telah diadakan pada malam 19 November 2010 di Universiti Mahidol (Kampus Saraya) yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Bangkok. Selain Tun berdua dan rombongan, kesempatan tersebut turut diraih oleh kakitangan Kedutaan untuk sama-sama memeriahkan konsert tersebut sebagai tanda sokongan kepada adik Tengku Ahmad Irfan yang boleh diibaratkan sebagai Mozart Malaysia berdasarkan bakat luar biasanya. Persembahan beliau telah menerima sambutan hangat daripada para hadirin yang jelas menghargai bakat istimewa adik Tengku Ahmad Irfan.

 

 

Malawakil Bangkok

23 November 2010

 

 

 

 

 

 

 

 

Click here for more pictures