Archives Archives

Back

LAWATAN DELEGASI DARI PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA (CAWANGAN KEDAH) DAN MAJLIS BELIA DAERAH KOTA SETAR KE KEDUTAAN BESAR MALAYSIA 22 & 23 DISEMBER 2009

Kedutaan Besar Malaysia telah menerima kunjungan dari dua kumpulan berbeza iaitu Persatuan Sejarah Malaysia (cawangan Kedah) dan Majlis Belia Daerah Kota Setar pada 22 dan 23 Disember 2009 di mana kedua-dua kumpulan tersebut telah diraikan dalam satu majlis sederhana oleh Timbalan Ketua Perwakilan dan pegawai-pegawai Kedutaan yang lain.

 

2.         Dalam kunjungan pertama oleh Persatuan Sejarah Malaysia (cawangan Kedah), lebih 50 anggota rombongan yang terdiri dari ahli persatuan telah meluangkan masa hampir dua jam di premis Kedutaan di mana selain dari dijamu dengan sedikit juadah, mereka juga telah berpeluang untuk melihat koleksi gambar-gambar yang dipertontonkan di Dewan Pameran Kedutaan yang menempatkan gambar-gambar kesemua Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Malaysia serta bekas-bekas Duta Besar Malaysia yang pernah berkhidmat di Thailand. Selain itu, terdapat juga gambar-gambar sewaktu Lawatan Negara yang dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan berangkat ke Thailand pada Mac 2009.

 

3.         Manakala, dalam kunjungan kedua oleh delegasi dari Majlis Belia Daerah Kota Setar pada keesokan harinya pula, delegasi tersebut telah turut dirai dalam suasana penuh kesederhanaan dan kemesraan oleh Timbalan Ketua Perwakilan dan pegawai dari Kedutaan. Delegasi seramai 35 orang itu yang diketuai oleh Tn. Hj. Ismail Bin Awang Kechik, telah turut diberi kesempatan untuk beramah mesra dengan anggota Kedutaan selain dari mengabadikan gambar-gambar kenangan di sekitar lobi utama Kedutaan. Delegasi tersebut sebenarnya sedang dalam rangka lawatan program integrasi budaya dan kepimpinan belia ke Kemboja dan Thailand.

 

4.         Kedutaan Besar Malaysia amat berbesar hati untuk menerima kehadiran dan kunjungan dari kedua-dua badan tersebut kerana ia merupakan kesempatan terbaik bagi mendekatkan Kedutaan dengan rakyat Malaysia yang berkelana ke Thailand. Selain dari menjadi wadah untuk bertukar-tukar fikiran dalam pelbagai isu yang berkaitan, ia juga merupakan peluang bagi membolehkan fungsi dan peranan Kedutaan diterangkan kepada rakyat secara langsung dan ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu mereka memahami kepentingan peranan yang dimainkan oleh Kedutaan Malaysia di seberang laut.  

 

 

Malawakil Bangkok

23 Disember 2009