Archives Archives

Back

LAWATAN KE CHIANG MAI ANJURAN PERWAKILAN BANGKOK 17 – 20 DISEMBER 2009


Sebelum tahun 2009 melabuhkan tirainya, Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri Malaysia – Cawangan Bangkok (PERWAKILAN), telah menganjurkan satu lawatan ke Chiang Mai bagi menghargai usaha, penat lelah serta sokongan ahlinya dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang berfaedah sepanjang tahun 2009.
Lawatan tersebut turut terbuka kepada ahli keluarga PERWAKILAN serta anggota Kedutaan lain termasuk Kakitangan Ambilan Tempatan. Seramai 50 ahli PERWAKILAN serta anggota Kedutaan yang lain telah turut menjayakan program lawatan ini yang turut diserikan lagi dengan penyertaan Dato’ Husni Zai dan Datin Norshiha Hasbullah.

 

2.         Sepanjang program lawatan selama 3 hari itu, anggota rombongan telah dibawa melawat Zoo Chiang Mai yang terkenal dengan daya tarikan anak panda bernama Lin Ping yang dilahirkan pada 27 Mei 2009 yang lalu kepada sepasang panda dewasa yang dipinjam dari China untuk tempoh selama 10 tahun. Di samping itu, rombongan dari Bangkok turut berkesempatan melawat Taman Bunga Ratchapreuk yang turut menempatkan sudut taman antarabangsa di mana Malaysia bersama 22 negara yang lain telah mendirikan taman yang bercirikan negara masing-masing. Taman Malaysia itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Rohani Haji Karim pada tahun 2007 yang ketika itu merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

 

3.         Dalam kesempatan yang berasingan, anggota rombongan turut berpeluang melawat beberapa lagi pusat tarikan pelancongan di Chiang Mai seperti pusat pembuatan payung / kraftangan, pusat seramik serta night bazaar dan Walking Street yang menawarkan pelbagai cenderahati yang boleh dibawa pulang sebagai ole-ole dari Chiang Mai.

 

4.         Sesungguhnya, program lawatan anjuran PERWAKILAN ini bukan hanya sekadar menjadi pelengkap aktiviti tahunannya sahaja. Ia mempunyai makna dan erti yang lebih luas di mana ia menjadi wadah bagi membolehkan anggota PERWAKILAN dan ahli keluarganya serta pegawai dan kakitangan Kedutaan lain yang turut menyertainya untuk berehat dan bersantai dalam suasana kekeluargaan yang pasti menyumbang ke arah merapatkan lagi hubungan kekitaan.  

 

 

Malawakil Bangkok

21 Disember 2009