Archives Archives

Back

LAWATAN KE PENJARA SEMPENA RAMADHAN 25 OGOS 2011

   Bersempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia dan Syawal yang bakal menjelang tiba, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah mengaturkan dua program lawatan ke penjara di sekitar Bangkok iaitu Penjara Bang Kwang dan Penjara Klong Prem bagi menyantuni kira-kira 50 tahanan warga Malaysia di sana.

 

Kumpulan pertama ke Penjara Bang Kwang telah diketuai sendiri oleh Dato’ Nazirah Hussain dan turut disertai 2 pegawai Kedutaan yang lain. Seramai  20 orang tahanan telah ditemui oleh delegasi tersebut. Pelbagai persoalan telah dibincangkan dengan mereka yang mengambil kesempatan yang ada untuk menyuara dan mengajukan masalah yang dihadapi mereka ketika dalam tahanan.

 

Satu perbincangan ringkas dengan Komander Penjara turut diadakan sebelum pertemuan sebenar dengan tahanan dilakukan. Ia merupakan kesempatan yang baik bagi mengetahui sendiri dari kaca mata pengurusan penjara tentang proses pentadbiran penjara dan ehwal kebajikan tahanan serta penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh Kedutaan dalam memberikan khidmat yang lebih berkesan kepada tahanan terbabit.

 

Manakala, sekumpulan pegawai Kedutaan yang lain yang diketuai oleh En. Tajul Aman Mohammad, Timbalan Kedtua Perwakilan telah melakukan lawatan ke Penjara Klong Prem pula untuk menemui lebih kurang 30 tahanan warga Malaysia. Pertemuan khas yang diadakan dalam bilik tertutup yang dikawal warden penjara telah berjalan lancar hampir sejam di mana pelbagai luahan hati daripada mereka telah disalurkan kepada delgasi Kedutaan.

 

Secara keseluruhannya, tahanan yang disantuni amat berbesar menerima kunjungan wakil Kedutaan dan sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada mereka. Dalam kedua-dua lawatan tersebut, wakil Kedutaan telah turut membawa sedikit barangan berupakan makanan, kuih dan peralatan dandanan diri untuk kegunaan harian tahanan. Ia merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap soal kebajikan mereka meski pun sewaktu mereka sedang menjalani tempoh hukuman di negara asing. Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha Kedutaan mendampingi segenap lapisan rakyat Malaysia di luar negara tanpa membezakan taraf mereka.

 

MW Bangkok

26 Ogos 2011