Archives
Back
LAWATAN KE RUMAH ANAK YATIM YAYASAN AL-KAWTHAR
LAWATAN KE RUMAH ANAK YATIM YAYASAN AL-KAWTHAR
26 OGOS 2010
Bersempena dengan Ramadhan al-Mubarak, PERWAKILAN Bangkok telah melakukan satu lawatan ke rumah anak-anak yatim Yayasan al-Kawthar yang terletak di Phrapradaeng kira-kira 45 minit perjalanan dari Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok. Lawatan tersebut telah diketuai Y.Bhg. Datin Norshiha Hasbullah bagi maksud menziarah golongan anak yatim di rumah tersebut serta menyampaikan sumbangan barangan dan wang tunai bagi membantu golongan tersebut.
2. Rumah anak yatim tersebut didiami oleh 38 anak yatim perempuan dari sekitar kawasan Phrapradaeng. Mereka berumur di antara 7 – 14 tahun dan terdapat juga golongan kanak-kanak yang muda dari umur yang dinyatakan di atas. Sewaktu lawatan, kesemua mereka sedang menghadiri kelas pengajian di sekolah berhampiran. Selain dari tukang masak yang digajikan, petugas lain memberikan khidmat mereka secara sukarela bagi melicinkan jentera pengurusan rumah tersebut.
3. Dalam lawatan ringkas tersebut, delegasi PERWAKILAN telah berkesempatan berjumpa dengan Pengetua Yayasan al-Kawthar dan berbicara dengan beliau bagi mengenali dengan lebih dalam lagi peranan yang dimainkan oleh Yayasan al-Kawthar. Bangunan serba ringkas itu dilengkapi dengan keperluan asas yang minima demi keselesaan penghuninya.
4. Pada kesempatan yang terluang, pihak PERWAKILAN telah menyumbangkan wang tunai bagi meringankan sedikit beban kewangan pengurusan rumah anak yatim al-Kawthar. Manakala, terdapat sejumlah ahli-ahli PERWAKILAN yang turut membuat sumbangan peribadi dalam bentuk wang tunai, pelbagai barangan keperluan harian dan runcit serta pakaian untuk manfaat penghuni rumah tersebut. Semoga sumbangan serta amal kebajikan yang dilakukan ini dapat memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim terbabit. Di samping itu, sifat prihatin yang ditonjolkan oleh PERWAKILAN diharap dapat memberikan gambaran sifat prihatin rakyat Malaysia secara keseluruhannya kepada penduduk Thailand.
Malawakil Bangkok
27 Ogos 2010