Archives Archives

Back

LAWATAN KERJA YBHG. DATO’ WAN MOHAMAD ABD. AZIZ, KETUA PENGARAH JAKIM, 1 - 5 FEBRUARI 2011

 

Bersempena dengan penganjuran Persidangan Peranan Masjid ASEAN ke-5 yang berakhir baru-baru ini, delegasi Malaysia seramai 19 orang yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad Abd. Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil bahagian sepenuhnya sepanjang berlangsungnya persidangan tersebut. Delegasi dari Malaysia merupakan gabungan ahli akademik serta pengurus masjid yang mewakili pelbagai institusi seperti Jabatan Islam Sabah, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Persatuan Ulama Malaysia, Dewan Pemuda Masjid serta Masjid Wilayah KL.
 
Pelbagai program perbincangan rasmi serta pembentangan kertas kerja telah dilakukan oleh peserta dari 6 negara ASEAN iaitu Filipina, Indonesia, Kemboja, Malaysia, Myanmar dan Thailand selaku tuan rumah. Persidangan tersebut yang telah diadakan di Pusat Pentadbiran Hal Ehwal Islam Pusat di Nongchok tidak jauh dari Bangkok telah dirasmikan oleh TYT Abhisit Vejjajiva, Perdana Menteri Thailand. Di samping itu, TYT Kasit Piromya, Menteri Luar Thailand juga telah turut diundang untuk memberikan satu ucapan khas mengenai masyarakat Islam di Thailand dalam satu sesi yang berasingan.
 
Ketua Pengarah JAKIM sendiri telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama yang menggariskan peranan masjid serta sistem pengurusan masjid yang diamalkan di Malaysia. Beliau juga turut berpeluang untuk mengadakan perbincangan berasingan dengan Syeikh Aziz Pithakumpol, Syeikhul Islam bagi negara Thailand. Antara pengisian lain sepanjang persidangan tersebut adalah lawatan ke beberapa tempat di Ayuthaya seperti Masjid Kudee Chaufa, Sekolah Islam Sri Ayuthaya, Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn serta Pusat Yayasan Islam Thailand di Ramkamhaeng.
 
Sesungguhnya penyertaan Malaysia dalam persidangan tersebut amat bertepatan apatah lagi Malaysia telah diwakili oleh Ketua Pengarah JAKIM sendiri yang semestinya memberikan imej yang baik serta kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi negara.
 
 
Malawakil Bangkok
9 Februari 2011