Archives
Back
LAWATAN TINJAUAN TYT DATO’ NAZIRAH HUSSAIN KE SELATAN THAILAND, 28 – 30 SEPTEMBER 2011
Selaras dengan amalan lazim, TYT Dato’ Nazirah Hussain telah melakukan lawatan tinjauan ke beberapa tempat di selatan Thailand dari 28 – 30 September 2011 yang lalu setelah melaporkan diri sebagai Duta Besar Malaysia ke Thailand bermula 28 Mei 2011. Beberapa pegawai dari agensi kerajaan yang bernaung di bawah Kedutaan juga telah turut menyertai lawatan tersebut.
Sepanjang berada di selatan Thailand, delegasi dari Bangkok telah berkesempatan menyertai beberapa program yang telah diaturkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla. Antaranya, delegasi telah turut sama menyaksikan majlis perasmian bangunan baru Konsulat Jeneral di mana majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada pagi 28 September 2011.
Seterusnya, anggota delegasi telah turut berkesempatan mengadakan lawatan dan kunjungan ke atas beberapa entiti yang berkepentingan di selatan seperti Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Kem Sirindhorn di Patani, Pejabat Southern Border Provinces Administration Centre (SBPAC) di Yala, Pejabat Imigresen Malaysia di Bukit Kayu Hitam serta sebuah syarikat usahasama Malaysia – Thailand iaitu Trans Thai – Malaysia di Chanaa yang terbabit dalam usaha carigali gas di Teluk Siam.
Anggota delegasi juga turut berkesempatan melawat seorang mangsa kejadian bom warga Malaysia yang masih dirawat di Hospital Yala dan berbual ringkas dengan anak mangsa. Selain itu, sebahagian angota delegasi turut melakukan lawatan singkat ke atas tiga buah syarikat milik Malaysia di Sadao pada 1 Oktober 2011 bagi mendekati mereka serta mendengar secara langsung pandangan mereka tentang perkembangan ekonomi di Thaailand serta natijah yang mungkin timbul dari pelaksanaan polisi baru kerajaan Thailand.
Lawatan yang dianjurkan ini bertepatan pada masanya memandangkan terdapat banyak kepentingan Malaysia di wilayah selatan Thailand yang bersempadankan Malaysia. Penyertaan delegasi dari agensi lain yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok juga amat bertepatan bagi membolehkan mereka turut mendapat maklumat secara langsung tentang perkembangan politik, ekonomi dan sosial di wilayah yang dilawati.
Perwakilan Bangkok
5 Oktober 2011