Archives
Back
PENGANUGERAHAN PINGAT JASA MALAYSIA KEPADA ASKAR VETERAN BRITISH, 15 JULAI 2011
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah mengadakan satu majlis ringkas bagi menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia kepada 4 orang askar veteran British yang pernah berkhidmat di Malaya dan kemudiannya Malaysia termasuk di Borneo di antara tahun 1957 - 1965 pada 15 Julai 2011 bertempat di Dewan Pameran Kedutaan.
Meski pun hanya 4 sahaja penerima yang dapat hadir pada majlis tersebut, kemeriahannya tetap terasa kerana mereka hadir dengan ditemani pasangan dan ahli keluarga masing-masing. Dalam ucapan aluan oleh Brig. Jen. Dato’ Azmy Yahya selaku Penasihat Pertahanan di Kedutaan, beliau melahirkan rasa bangga yang tidak terhingga melihat kehadiran jemputan khas yang telah banayak mencurahkan bakti kepada tanahair sewaktu di ambang kemerdekaan dan tempoh selepasnya. Manakala, dalam ucapan oleh Left. Kol. (B) Andrew Watt bagi mewakili penerima pingat yang hadir, beliau menzahirkan rasa berterima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Malaysia di atas penganugerahan tersebut dan berjanji untuk menyemat pingat tersebut di dada dengan penuh kebanggaan.
Sementara itu, PYT Dato’ Nazirah Hussain dalam ucapan beliau telah turut menyampaikan rasa penghargaan tidak terhingga di atas jasa dan bakti bekas perajurit yang telah mempertaruhkan nyawa mereka dalam mempertahankan kedaulatan Malaya dan kemudiannya Malaysia. Beliau mengisytiharkan penerima-penerima pingat tersebut sebagai Sahabat Malaysia dan mereka akan sentiasa diundang dalam majlis-majlis keraian anjuran Kedutaan bagi mempastikan hubungan yang terjalin akan berkekalan selamanya.
Majlis penganugerahan tersebut diakhiri dengan sedikit jamuan ringkas bagi membangkitkan semula nostalgia jemputan khas terhadap makanan yang mungkin pernah dinikmati suatu ketika dahulu.
Malawakil Bangkok
20 Julai 2011