Archives Archives

Back

PROGRAM LAWATAN AKADEMIK AKADEMI PENGAJIAN BAHASA UiTM SHAH ALAM KE UNIVERSITI WALAILAK, 26 & 27 OKTOBER 2011

 

Satu delegasi pelajar dan pensyarah daripada Akademi Pengajian Bahasa Universiti teknologi MARA (UiTM), Shah Alam telah bertandang ke Universiti Walailak yang terletak di wilayah Nakhon Sitthamarat bagi maksud menyuburkan hubungan yang lama terjalin di samping memberi kesempatan kepada pelajar terbabit mendapat pendedahan baharu di negara asing.
 
2.         Duta Besar Malaysia ke Thailand telah diundang untuk merasmikan program Lawatan Akademik tersebut dalam satu majlis yang sederhana pada pagi 26 Oktober 2011. Dalam ucapan perasmiannya, PYT Dato’ Nazirah Hussain telah menggariskan kepentingan program seumpama ini dari sudut pandang hubungan dua hala yang menurut beliau mampu meningkatkan lagi hubungan sesama rakyat. Beliau turut melontarkan buah fikiran tentang cabaran yang bakal menanti apabila keseluruhan anggota ASEAN bergabung menjadi satu komuniti pada 2015 kelak di mana para pelajar yang bakal menamatkan pengajian mereka akan berhadapan dengan satu bentuk cabaran yang berbeza dari masa yang lampau. Pelbagai persediaan perlu dilakukan bagi membolehkan mereka bersaing secara sihat dengan golongan pelajar dari negara anggota ASEAN yang lain.
 
3.            Sepanjang program dua hari tersebut, pelbagai pengisian dalam bentuk wacana ilmu dan perbincangan serta persembahan kebudayaan telah diatur bagi membolehkan pelajar dari kedua-dua buah pusat pengajian tinggi tersebut berinteraksi sesama mereka. Wakil daripada Kedutaan juga telah turut menyumbang buah fikiran dalam pelbagai isu yang dikupas untuk dijadikan renungan oleh mereka yang hadir. Penyertaan Kedutaan dalam program seumpama ini adalah bertepatan dengan aspirasi untuk mendekatkan Kedutaan dengan golongan pelajar terutama yang berada di Thailand di samping meuar-uarkan dasar kerajaan dalam isu yang berkaitan seperti pengantarabangsaan pendidikan tinggi.          
 
 
Malawakil Bangkok
31 Oktober 2011