Archives Archives

Back

PROGRAM SEMARAK BAHASA MELAYU DI UNIVERSITI CHULALONGKORN, 16 FEBRUARI 2011

 

Kedutaan Malaysia telah dipelawa oleh Unit Bahasa Melayu, Jabatan Sastera Universiti Chulalongkorn di Bangkok untuk memberikan satu ceramah khas mengenai Bahasa Melayu di nusantara kepada sekumpulan 30 orang mahasiswa universiti yang mengambil mata pelajaran tersebut sebagai kursus elektif. Dalam hal ini, Kedutaan telah diwakili oleh Nazarudin Ja’afar, Setiausaha Pertama yang telah menjalankan tanggungjawab tersebut. Selain daripada Universiti Chulalongkorn, terdapat sejumlah tujuh lagi universiti awam lain di seluruh Thailand yang menawarkan mata pelajaran tersebut sama ada sebagai mata pelajaran elektif atau di peringkat yang lebih tinggi lagi. Rata-rata memberikan alasan ingin mengenali Malaysia dengan lebih dekat lagi apabila diajukan soalan mengapa memilih mata pelajaran tersebut.
 
Sepanjang sesi 2 jam tersebut, sedikit kupasan ringkas tentang Bahasa Melayu, penggunaan serta perkembangannya telah diterangkan kepada kumpulan mahasiswa yang rata-ratanya baru berjinak-jinak dengan mata pelajaran tersebut. Selain dari mendengar penerangan ringkas dengan dibantu pertunjukan slaid dan video perbualan, para mahasiswa tersebut juga turut diberikan kesempatan untuk mempraktikkan bahasa dengan melakukan pelbagai aktiviti perbualan secara perseorangan dan berkumpulan. Meski pun ada yang kelihatan agak tertekan dan kaku, namun secara keseluruhannya mereka berjaya melaksanakan tugasan dengan baik. Sebagai menghargai usaha yang ditunjukkan, beberapa mahasiswa telah turut dipilih untuk menerima hadiah berupa cenderamata khas dari Malaysia berdasarkan keupayaan yang ditonjolkan.
 
Manakala untuk Unit Bahasa Melayu pula, beberapa naskhah buku, majalah dan akhbar dalam Bahasa Melayu telah dihadiahkan oleh Kedutaan di mana bahan bacaan tersebut dirasakan sesuai untuk dijadikan sebagai sumber rujukan dan alat bantuan mengajar. Hadiah tersebut telah diterima oleh Dr. Nureeda Hayiyakoh dan Dr. Chaiwat Meesantan, dua pensyarah Bahasa Melayu dari universiti tersebut. Berdasarkan sambutan hangat yang diberikan oleh mahasiswa terbabit, pihak universiti telah membayangkan hasrat untuk memanjangkan jemputan serupa di masa hadapan dan semestinya tawaran sedemikian akan direbut oleh Kedutaan ke arah memartabatkan lagi perkembangan Bahasa Melayu di nusantara.
 
 
Malawakil Bangkok
17 Februari 2011