Archives
Back
SEMARAK PROGRAM ASEAN DI SEKITAR BANGKOK, JULAI - OGOS 2011
Bersempena dengan kemunculan Hari ASEAN pada 8 Ogos 2011 kelak, pelbagai aktiviti yang bertemakan ASEAN telah berlangsung di sekitar Bangkok di mana Kedutaan Besar Malaysia telah turut menyertai mereka bagi menyemarakkan lagi sambutan tersebut.
Pertama, dalam satu seminar khas bertajuk ‘’Preparing Our Youths for Our ASEAN Community’’ yang telah diadakan di Sekolah Menengah Yothinburana di Bangkok, wakil Kedutaan ASEAN termasuk Malaysia telah menyertai seminar tersebut dengan menjadi ahli panel yang membicarakan tentang sistem pendidikan dan peranan yang boleh dimainkannya dalam memupuk masyarakat ASEAN terutamanya di kalangan remaja. Cik Fenny Nuli, Menteri Penasihat telah mewakil Kedutaan dalam panel perbincangan tersebut yang turut dianggotai wakil dari Filipina, Indonesia dan Singapura.
Seminar yang dianjurkan oleh Association of Thai Social Studies Teachers (ATST) tersebut telah dihadiri oleh guru-guru dari seluruh Thailand yang mengajar mata pelajaran Pengajian Sosial di peringkat sekolah menengah di seluruh Thailand.
Manakala, dalam acara yang berbeza, Kedutaan Besar Malaysia juga telah turut membabitkan diri dalam satu persidangan antarabangsa anjuran Universiti Suan Dusit Rajabhat di Bangkok yang bertemakan ‘’ASEAN Cultural Diversity’’. Penyertaan Kedutaan kali ini sedikit berbeza di mana Kedutaan telah menyediakan satu kaunter yang mempamerkan secara sepintas lalu sedikit aspek kebudayaan melalui pameran barangan seperti batik, songket, bunga manggar, pua kumbu dab beberapa barangan kebudayaan lain. Selain Malaysia, pameran tersebut telah turut disertai oleh Kedutaan Filipina, Laos dan Vietnam.
Pameran ringkas tersebut telah memberikan sedikit kesempatan kepada Kedutaan untuk menonjolkan satu aspek kebudayaan Malaysia dan para peserta persidangan dan pelajar yang berkunjung ke kawasan pameran telah menunjukkan minat untuk mempelajari lebih lanjut warisan budaya unik dari Malaysia. Seorang pensyarah dari Universiti Malaya telah turut hadir sebagai ahli panel dalam persidangan tersebut bagi memberikan pandangaan beliau dalam perkara yang berkaitan dengan kebudayaan menurut kaca mata beliau.
Malawakil Bangkok
8 Ogos 2011