Archive Archive

Back

PRU13: KENYATAAN MEDIA SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA MENGENAI TARIKH UNDI POS DI LUAR NEGARA

 

KENYATAAN MEDIA


SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA


PENYERAHAN DAN PENERIMAAN BALIK SAMPUL KEUTAMAAN


1. Mulai Pilihan Raya Umum Ke-13, SPR telah membuat ketetapan kepada semua warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) untuk menerima kertas undi pos di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara sebagaimana yang dipohon.


2. SPR bercadang untuk membuat penyerahan dan penerimaan balik Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia pada ketetapan seperti yang berikut ;


Pejabat Perwakilan Malaysia di London, United Kingdom dan Melbourne, Australia :
Tarikh : 28 April 2013 (Ahad)
Masa : 9.00 a.m hingga 8.00 p.m


Semua Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia yang lain :
Tarikh : 28 April 2013 (Ahad)
Masa : 9.00 a.m hingga 6.00 p.m


3. SPR menetapkan masa penyerahan dan penerimaan balik Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos di Pejabat Perwakilan Malaysia di London, United Kingdom dan Melbourne, Australia dilanjutkan selama 2 jam berbanding Pejabat-pejabat Perwakilan yang lain disebabkan Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia berkenaan mempunyai jumlah pengundi pos melebihi 1,000 orang.


4. Semua warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan PTH hendaklah hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia dengan menunjukkan Kad Pengenalan atau Pasport Antarabangsa kepada petugas-petugas SPR di Pejabat Perwakilan yang berkenaan. Sampul Keutamaan TIDAK akan diserahkan kepada mereka yang tidak membawa dokumen pengenalan diri. Wakil atau saudara juga tidak dibenarkan mengambil Sampul Keutamaan bagi pihak individu yang lain.


5. Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan PTH yang hadir ke Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia akan diserahkan Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos. Kertas undi yang telah ditanda perlu dimasukkan ke dalam Karung Khas SPR yang disediakan di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara. Sampul-Sampul yang mengandungi kertas undi pos di dalam Karung Khas SPR tersebut akan dibawa pulang ke Malaysia pada hari yang sama untuk diserahkan kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya masing-masing.


6. Namun demikian, sekiranya terdapat Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara atau PTH mengambil Sampul Keutamaan selepas hari penyerahan atau mengembalikan Sampul yang mengandungi kertas undi pos selepas tarikh dan masa yang ditetapkan, mereka dikehendaki menguruskan sendiri urusan penghantaran balik ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan dan dengan perbelanjaan sendiri.


7. Sehingga kini semua Borang 1B telah dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya masing-masing (Parlimen) untuk tujuan kelulusan Pegawai Pengurus. Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dijangka boleh membuat semakan mengenai keputusan permohonan mengundi melalui pos dan maklumat yang berkaitan dengan tarikh, masa dan alamat Pejabat Perwakilan


Malaysia di luar negara di laman web SPR di
www.spr.gov.my bermula pada 19 April 2013.
Sekian dan terima kasih




…………………t.t……………………
(DATUK KAMARUDDIN MOHAMED BARIA)
Setiausaha
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
15 April 2013